Abu Raqim atau Hashim bin Muhammad bin Haji Dirbas al-Qaysi Al-Baghdadi. Beliau dilahirkan pada tahun 1335H/1917M di Baghdad. Sejak kecil Hashim sangat tertarik pada seni khat, beliau mula belajar dari Maula ‘Arif al-Shaykhli juga dari Ali Sabir, akan tetapi hanya sebentar saja. Kemudian beliau mula berlatih seni khat di bawah pengawasan dan bimbingan Syeikh Maula ‘Ali al-Fadli, yang memberinya ijazah seni khat pada tahun 1363H/1943M.
Pada 1364H/1944M, Hashim pergi ke Mesir, beliau tinggal dan menyambung pengajian di sebuah Institut Seni Khat di Kaherah. Para pengajar sangat terkesan dengan karyanya yang kemudian membenarkan Hashim untuk terus mengikuti ujian akhir di kelas senior dan diberi penghormatan untuk berada di kelas pertama. Hashim mendapat ijazah kedua dari khattat ternama Mesir, Sayyid Ibrahim (1315H/1897M–1414H/1994M), dan Muhammad Husni pada tahun 1364H/1944M. Pengurusan institut memintanya untuk tinggal di Mesir dan mengajar, akan tetapi beliau memilih untuk kembali ke Baghdad dan membuka perusahaan seni khat serta menerbitkan sebuah buku gaya penulisan Seni Khat al-Riqa' pada 1365H/1946M.
Hashim kemudian pergi ke Istanbul, di mana dia berkenalan dengan tokoh seni khat terkenal Turki, Musa Azmi atau lebih dikenali sebagai Hamid al-Amidi, yang telah memberinya dua penghargaan sebagai pengganti ijazah, yang pertama pada 1370H/1950M dan yang kedua pada 1372H/1952M. Pada majlis anugerah yang kedua, Hamid al-Amidi mengumumkan Hashim sebagai Penulis Seni Khat Terbaik dalam dunia Islam dan beliau mengatakan kepada Hashim "Kesenian Seni Khat Islam bermula di Dar-As Salaam (Baghdad) dan ia kembali bersamamu ke Dar-As-Salaam". Selama empat tahun, sejak 1375H/1955M, beliau belajar dengan Macid Ayral yang datang dari Baghdad ke Istanbul dan dari situ banyak sekali manfaat diterimanya. Gaya penulisan beliau lebih cenderung kepada gaya penulis klasik Baghdad iaitu Yaqut al Musta'asimi dan gabungan dengan penulisan moden dari Ottoman School. Beliau juga dikenali sebagai antara khattat yang terbaik dalam gaya Seni Khat Thuluth.
Hashim dilantik sebagai pensyarah Kaligrafi Arab di Institute of Fine Art di Baghdad pada 1380H/1960M sehingga beliau dilantik menjadi ketua bahagian Dekorasi dan Seni Khat sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 1973. Keindahan Seni Khat di Turki sangat mempengaruhi dirinya, beliau sangat mengagumi karya Hafiz Osman, Muhammad Shauqi, Haci Ahmed Kamil Akdik, dan Hamid al-Amidi. Kekagumannya kepada karya-karya Mustafa Raqim juga begitu besar, sehinggakan beliau menamakan anaknya dengan Mustafa Raqim dan memanggil dirinya sebagai Abu Raqim. Semasa di Istanbul, Hashim kerap kali mengunjungi khattat Necmeddin Okyay, yang memiliki pelbagai koleksi seni khat dari khattat ternama.
Selain itu, Hashim juga menjadi orang penting dalam penerbitan semula Mušhaf al-Awqaf, yang diterbitkan pertama kali oleh kerajaan. Ia adalah mushaf seni khat yang sangat indah diterbitkan pada tahun 1236H/1821M yang ditulis oleh khattat Turki, Muhammad Amin Ar-Rusdi (abad ke 13H/19M). Mushaf ini diberikan oleh Pertevniyal, ibu dari Sultan Abdulaziz, kepada Masjid Imam Besar Al-Nu’man Bin Tsabit, yang dikenal sebagai Abu Hanifah. Hashim membaik pulih awal mushaf tersebut, meletakkan nombor ayat yang hilang, menulis nama surah-surah Al-Quran, menata jumlah hizb, juz, dan ayat-ayat as-Sajadah dengan menyesuaikannya mengikut selera Arab. Karya-karya seni khat Hashim banyak dijadikan perhiasan masjid-masjid dan bangunan-bangunan di Baghdad serta bandar-bandar lain sekitarnya. Kebanyakannya adalah karya dalam Khat Thuluth Jali dan diperbuat menggunakan marmar. Karya-karya beliau banyak terdapat di masjid-masjid terkenal seluruh Iraq, seperti dalam Masjid ‘Al-Qadir Abd al-Jilani, Masjid Haiderkhana, Masjid Almuradia, Masjid al-Shahid, Masjid Bunia dan Masjid Hajj Mahmud. Beliau juga adalah pereka bagi nota bank dan syiling untuk Iraq, Tunisia, Maghribi, Libya dan Sudan.
Pada tahun 1962, beliau menerbitkan sebuah buku qawaid dan koleksi khat beliau yang bertajuk "Qawa'idul Khattul 'Arabi" (Kaedah Penulisan Khat Arab). Buku ini telah memberi sumbangan yang amat besar dalam dunia seni khat, kerana ia telah digunakan sebagai rujukan oleh pelajar-pelajar serta khattat dari seluruh dunia. Hashim al-Baghdadi meninggal pada 27 Rabi’uI Awwal 1393H bersamaan 30 April 1973 di Baghdad dan dimakamkan di Pemakaman Khayzuran. Sepanjang hidupnya, beliau hanya menganugerahkan satu diploma sahaja kepada muridnya, Abdul Ghani al-Ani.
Beliau merancang untuk menulis al-Qur'an dalam gaya penulisannya yang tersendiri, tetapi beliau meninggal dunia sebelum selesai menyiapkan projek. Sebuah koleksi yang mengandungi karya terbaru beliau telah diterbitkan semula di Baghdad pada tahun 1978.
Diterjemahkan dari: Waleed al-’A'zami, Tarajimu Khattati Baghdad el-Muassirin, Beirut 1977, p.254-75.
Berikut antara tulisan beliau yang terdapat dalam bukunya "Qawa'idul Khattul 'Arabi":
All notes and images on this site are under the ownership & copyright of Callidesign™. No artworks, notes, and images may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without the written permission of Callidesign™. All rights reserved. If you'd like to use my notes and images for any reason, please contact me.
Good job brother Firdaus....
ReplyDeleteSyukran akhi :) insyaAllah sikit-sikit update...
ReplyDelete