Pages

Me and Maher Zain

Maher Zain and me during his concert in Malaysia, with my artwork his name in Diwani Jali style.

Al-Aqsa - Form Of The Doa Exhibition

Alhamdulillah, I was given the trust and the opportunity to produce an artwork using the rarest medium; old 4mm-thick Aluminum sheets retrieved from Dome Of The Rock in al-Aqsa, Jerusalem,Palestine.

Exhibition at South Korea

Celebrating Of The Golden Anniversary Of Islam In Korea - The Grand Exhibition For Culture and Folk Art Of The Middle East and Islam.

Memartabatkan Seni Khat

Featured in Metro Ahad, 9 Januari 2011.

Kuala Lumpur Design Week

Collaborative artwork between Moed Latif's oriental illustration and Firdaus Mahadi's calligraphy 'Kreatif'.

Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Tuesday, April 8, 2014

Seni Khat Lambang Islam


ISLAM tidak pernah menghalang umatnya tertarik dengan keindahan, malah mengiktiraf keindahan dan kesempurnaan itu sebagai satu tuntutan agama sebagaimana hadis bermaksud: “Allah itu baik dan menyukai kebaikan dalam segala hal.” ( Bukhari dan Muslim). 

Bermula dengan turunnya ayat suci al-Quran kepada baginda Rasulullah s.a.w, masyarakat Arab yang petah bersyair serta berpuisi, menggunakan kepandaian yang dikurniakan mencipta tulisan berseni atau kaligrafi sebagai tinggalan tamadun Islam untuk ditatap generasi seterusnya. 

Pensyarah pelawat Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM), Profesor Dr Heba Barakat, berkata sejarah kaligrafi atau dalam bahasa Yunaninya, kalious, dikatakan bermula sejak kurun kelapan apabila masyarakat Arab menghasilkan tulisan bagi menunjukkan ketinggian martabat kabilah mereka. 

Menurutnya, adalah menjadi satu kebanggaan bagi mereka apabila dapat menghasilkan seni ukiran yang indah dan halus untuk ditunjukkan kepada pihak lawan, apatah lagi apabila digabungkan dengan kekuatan kehebatan kabilah mereka sewaktu di medan perang. 

“Ketinggian kabilah Arab pada zaman dulu diukur pada kehebatan mereka sewaktu berperang, bersyair serta tulisan yang dihasilkan. Semakin tinggi kreativiti mereka, semakin tinggi sanjungan yang diterima. 

“Kebanyakan hasil lakaran yang dicipta berdasarkan suasana pada masa itu seperti berlatar belakangkan peperangan antara kabilah. Mereka melakarkan kaligrafi sebagai cara untuk menunjukkan kekuatan mereka dari segi emosi dengan merujuk pada ayat al-Quran yang menceritakan mengenai sebab dan akibat berlakunya peperangan itu. 

“Ia mempunyai simbolik tersendiri kerana bukan semata-mata menunjukkan kekuatan dalam peperangan tapi juga dalam menghasilkan sesuatu yang boleh menaikkan martabat dan semangat kaum mereka yang pergi berperang untuk mencari kemenangan,” katanya. 

Penyebaran Islam ke seluruh pelosok dunia oleh pedagang Arab menyebabkan tulisan kaligrafi turut berkembang sama ada melalui dakwah, penaklukan mahupun perdagangan. 

Pertembungan antara dua budaya menyaksikan tulisan kaligrafi mengalami corak perubahan dalam bentuk, warna mahupun tulisan namun paksi asasnya masih pada ayat al-Quran. 

Beliau yang ditemui di ibu kota, baru-baru ini berkata, kebanyakan tulisan atau lakaran kaligrafi masyarakat Arab dulu lebih tertumpu kepada ‘nastlq’ atau huruf berkait. 

“Sejajar dengan perkembangan Islam, tulisan kaligrafi mengalami perubahan mengikut kesesuaian tempat dan budaya masyarakat, namun masih gunakan ayat al-Quran. 

“Jika dulu gaya tulisan yang digunakan setiap kabilah adalah sama dari segi teknik lakaran, penyebaran Islam menyebabkan gaya tulisan turut berubah. Malah, masyarakat berkenaan membentuk gaya tulisan tersendiri agar mudah difahami,” katanya, sambil menambah, kaligrafi Islam adalah kaligrafi terkenal di dunia kerana dihasilkan mengikut empat mekanisme kehidupan iaitu api, air, angin dan udara. 

“Itulah simboliknya kaligrafi khat Islam kerana ia dihasilkan dengan gabungan empat perkara berkenaan sehingga menghasilkan tulisan yang indah. 

“Kehalusan ukiran dan ayat yang dilakarkan begitu terserlah kerana dihasilkan dengan penuh rasa tawaduk terhadap Allah, sesuai untuk memberi penghormatan pada ayat al-Quran,” katanya. 

Berpengalaman hampir 28 tahun dalam ilmu tulisan khat, beliau yang juga pakar seni kaligrafi di Mesir berkata kaligrafi Islam terbahagi kepada empat bahagian utama, iaitu’thuloth’, ‘nastlq’, ‘sini’ dan ‘Psudu’. 

Kaligrafi ‘thuloth’ (satu pertiga) digunakan di Maghribi bermaksud, keseimbangan seperti bahagian mata di wajah, ‘nastlq’( air yang mengalir) di Iran bermaksud kesinambungan huruf antara perkataan akhir dan awal, ‘sini’ digunakan masyarakat negara China dan ‘Psudu’ ( huruf jawi yang palsu) yang digunakan masyarakat Eropah. 

“Masyarakat Eropah juga berminat tapi disebabkan mereka tak pandai menulis huruf jawi, mereka cipta satu tulisan yang menyerupai bentuk tulisan asal, tapi hanya difahami oleh mereka. Kebanyakannya berbentuk puisi atau syair yang menggambarkan suasana kehidupan mereka. 

“Hasil yang dilakarkan tak boleh dianggap sebagai kaligrafi Islam kerana tak bersandarkan pada ayat Quran, namun diterima dalam komuniti dunia hari ini atas semangat ukhwah,” katanya. 

Oleh Ruhaiza Rusmin © New Straits Times (M) Berhad


Monday, April 7, 2014

Pameran : Siti : An Iconic Exhibiton Of Dato' Siti Nurhaliza





Assalamualaikum. Alhamdulillah baru-baru ini saya terlibat dengan pameran "Siti : An Iconic Exhibiton Of Dato' Siti Nurhaliza" di Galeri Artelier, Publika, Solaris Dutamas. Pameran ini merupakan penghormatan buat Siti apabila 17 karya pelukis tempatan dan luar negara. Ke semua lukisan yang mempamerkan pelbagai sisi Siti itu dipilih itu mengikut teknik yang berbeza seperti seni khat (kaligrafi), media campuran, seni media baharu, cat dan lakaran.

Antara pelukis yang terlibat ialah Adrian Torres dari Sepanyol, E.M. Nightwatcher (Iran), Amirfirdaus Tarmizi, Arikwibowo Amril, Azizi Latif, Badruddin Syah Abdul Wahab dan Faiz Yunus. Selain itu, Mohammad Firdaus Mahadi, Haafiz Shahimi, Haffendi Anuar, Khairul Arshad, Muhammad Syahbandi Samat, Nazmi Ismail, Sabihis Md. Pandi, Scott dan Dhameer Abbas, Syafiq Nordin serta Zizan Rozman turut mengambil bahagian.

Ke semua lukisan itu dijual pada harga serendah RM1,500 sehingga RM75,000 dan sebanyak 30 peratus daripasa hasil jualan disalurkan ke Yayasan Nurjiwa. Semoga dengan peluang dan pengalaman ini dapat memberi impak yang positif dalam perkembangan Seni Khat di Malaysia melalui karya yang telah saya hasilkan. Pameran ini berlangsung bermula 27 Februari sehingga 26 Mac 2014, pada yang berkesempatan bolehlah melawat dan melihat karya-karya yang telah dihasilkan oleh 17 orang penggiat seni muda.

Berikut pengenalan mengenai pameran ini:

Artelier Gallery Kuala Lumpur and Siti Nurhaliza Productions are venturing into a public initiative to bridge the world of performing arts and fine arts by creating Malaysia's first female pop icon in the art industry - Dato' Siti Nurhaliza. 
In a group exhibition of 17 local mid-career and emerging artists, and one guest international artist from Spain, the exhibition is a charity fundraiser for Yayasan Nurjiwa - a Malaysian NGO dedicated to local aid, disaster relief and community-building initiatives. 


Tuesday, December 10, 2013

Tokoh Seni Khat : Hashim Muhammad Baghdadi Rahimahullah


Abu Raqim atau Hashim bin Muhammad bin Haji Dirbas al-Qaysi Al-Baghdadi. Beliau dilahirkan pada tahun 1335H/1917M di Baghdad. Sejak kecil Hashim sangat tertarik pada seni khat, beliau mula belajar dari Maula ‘Arif al-Shaykhli juga dari Ali Sabir, akan tetapi hanya sebentar saja. Kemudian beliau mula berlatih seni khat di bawah pengawasan dan bimbingan Syeikh Maula ‘Ali al-Fadli, yang memberinya ijazah seni khat pada tahun 1363H/1943M.

Pada 1364H/1944M, Hashim pergi ke Mesir, beliau tinggal dan menyambung pengajian di sebuah Institut Seni Khat di Kaherah. Para pengajar sangat terkesan dengan karyanya yang kemudian membenarkan Hashim untuk terus mengikuti ujian akhir di kelas senior dan diberi penghormatan untuk berada di kelas pertama. Hashim mendapat ijazah kedua dari khattat ternama Mesir, Sayyid Ibrahim (1315H/1897M–1414H/1994M), dan Muhammad Husni pada tahun 1364H/1944M. Pengurusan institut memintanya untuk tinggal di Mesir dan mengajar, akan tetapi beliau memilih untuk kembali ke Baghdad dan membuka perusahaan seni khat serta menerbitkan sebuah buku gaya penulisan Seni Khat al-Riqa' pada 1365H/1946M.

Hashim kemudian pergi ke Istanbul, di mana dia berkenalan dengan tokoh seni khat terkenal Turki, Musa Azmi atau lebih dikenali sebagai Hamid al-Amidi, yang telah memberinya dua penghargaan sebagai pengganti ijazah, yang pertama pada 1370H/1950M dan yang kedua pada 1372H/1952M. Pada majlis anugerah yang kedua, Hamid al-Amidi mengumumkan Hashim sebagai Penulis Seni Khat Terbaik dalam dunia Islam dan beliau mengatakan kepada Hashim "Kesenian Seni Khat Islam bermula di Dar-As Salaam (Baghdad) dan ia kembali bersamamu ke Dar-As-Salaam". Selama empat tahun, sejak 1375H/1955M, beliau belajar dengan Macid Ayral yang datang dari Baghdad ke Istanbul dan dari situ banyak sekali manfaat diterimanya. Gaya penulisan beliau lebih cenderung kepada gaya penulis klasik Baghdad iaitu Yaqut al Musta'asimi dan gabungan dengan penulisan moden dari Ottoman School. Beliau juga dikenali sebagai antara khattat yang terbaik dalam gaya Seni Khat Thuluth.

Hashim dilantik sebagai pensyarah Kaligrafi Arab di Institute of Fine Art di Baghdad pada 1380H/1960M sehingga beliau dilantik menjadi ketua bahagian Dekorasi dan Seni Khat sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 1973. Keindahan Seni Khat di Turki sangat mempengaruhi dirinya, beliau sangat mengagumi karya Hafiz Osman, Muhammad Shauqi, Haci Ahmed Kamil Akdik, dan Hamid al-Amidi. Kekagumannya kepada karya-karya Mustafa Raqim juga begitu besar, sehinggakan beliau menamakan anaknya dengan Mustafa Raqim dan memanggil dirinya sebagai Abu Raqim. Semasa di Istanbul, Hashim kerap kali mengunjungi khattat Necmeddin Okyay, yang memiliki pelbagai koleksi seni khat dari khattat ternama.

Selain itu, Hashim juga menjadi orang penting dalam penerbitan semula MuÅ¡haf al-Awqaf, yang diterbitkan pertama kali oleh kerajaan. Ia adalah mushaf seni khat yang sangat indah diterbitkan pada tahun 1236H/1821M yang ditulis oleh khattat Turki, Muhammad Amin Ar-Rusdi (abad ke 13H/19M). Mushaf ini diberikan oleh Pertevniyal, ibu dari Sultan Abdulaziz, kepada Masjid Imam Besar Al-Nu’man Bin Tsabit, yang dikenal sebagai Abu Hanifah. Hashim membaik pulih awal mushaf tersebut, meletakkan nombor ayat yang hilang, menulis nama surah-surah Al-Quran, menata jumlah hizb, juz, dan ayat-ayat as-Sajadah dengan menyesuaikannya mengikut selera Arab. Karya-karya seni khat Hashim banyak dijadikan perhiasan masjid-masjid dan bangunan-bangunan di Baghdad serta bandar-bandar lain sekitarnya. Kebanyakannya adalah karya dalam Khat Thuluth Jali dan diperbuat menggunakan marmar. Karya-karya beliau banyak terdapat di masjid-masjid terkenal seluruh Iraq, seperti dalam Masjid ‘Al-Qadir Abd al-Jilani, Masjid Haiderkhana, Masjid Almuradia, Masjid al-Shahid, Masjid Bunia dan Masjid Hajj Mahmud. Beliau juga adalah pereka bagi nota bank dan syiling untuk Iraq, Tunisia, Maghribi, Libya dan Sudan.

Pada tahun 1962, beliau menerbitkan sebuah buku qawaid dan koleksi khat beliau yang bertajuk "Qawa'idul Khattul 'Arabi" (Kaedah Penulisan Khat Arab). Buku ini telah memberi sumbangan yang amat besar dalam dunia seni khat, kerana ia telah digunakan sebagai rujukan oleh pelajar-pelajar serta khattat dari seluruh dunia. Hashim al-Baghdadi meninggal pada 27 Rabi’uI Awwal 1393H bersamaan 30 April 1973 di Baghdad dan dimakamkan di Pemakaman Khayzuran. Sepanjang hidupnya, beliau hanya menganugerahkan satu diploma sahaja kepada muridnya, Abdul Ghani al-Ani.

Beliau merancang untuk menulis al-Qur'an dalam gaya penulisannya yang tersendiri, tetapi beliau meninggal dunia sebelum selesai menyiapkan projek. Sebuah koleksi yang mengandungi karya terbaru beliau telah diterbitkan semula di Baghdad pada tahun 1978.

Diterjemahkan dari: Waleed al-’A'zami, Tarajimu Khattati Baghdad el-Muassirin, Beirut 1977, p.254-75.

Berikut antara tulisan beliau yang terdapat dalam bukunya "Qawa'idul Khattul 'Arabi":











Alhamdulillah, bersyukur kerana saya mula belajar dan kenali Seni Khat dari bukunya yang masyhur itu, semoga pada sesiapa sahaja yang membaca artikel ini dapat pelbagai manfaat darinya. Sedekahkan al-Fatihah buat khattat Hashim Muhammad Baghdadi Rahimahullah, semoga segala usaha almarhum dalam Seni Khat sentiasa segar dari satu generasi ke generasi yang lain.


Mohammad Firdaus bin Mahadi

Hak Cipta | Copyright Notice 

Semua catatan dan gambar dalam laman ini berada di bawah pemilikan & hak cipta Callidesign ™. Tidak ada karya seni, catatan, dan gambar dapat dipergunakan, dimuat turun, disalin, disimpan, dimanipulasi, atau digunakan secara keseluruhan atau sebahagian dari karya, tanpa izin bertulis dari Callidesign ™. All rights reserved. Jika anda ingin menggunakan catatan dan gambar untuk alasan apapun, sila hubungi saya.

All notes and images on this site are under the ownership & copyright of Callidesign™. No artworks, notes, and images may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without the written permission of Callidesign™. All rights reserved. If you'd like to use my notes and images for any reason, please contact me.

Wednesday, May 15, 2013

Dari Usuluddin ke Dunia Seni Halus



Alhamdulillah, berakhir tempoh 2 tahun yang penuh cabaran. Selesai bergraduasi di hari pertama Konvokesyen UiTM ke-78 pada 1 Rejab 1434 Hijriyyah bersamaan dengan 11 Mei 2013. Bermulanya saya sebagai graduan yang berlatarkan pengajian Al-Qur'an dan Sunnah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tahun 2003-2006 yang mana tiada pendidikan formal di dalam bidang seni. Berbekalkan minat yang mendalam akan bidang seni maka saya usaha untuk realisasikan niat dan tujuan menyambung pengajian. Keputusan awal sekitar 2007 untuk menyambung pengajian Sarjana dalam bidang Usuluddin saya tangguhkan kerana ingin 'cuba' menempatkan diri dalam bidang seni yang selama ini saya minati. Dua kali permohonan kemasukan pengajian Sarjana Seni Halus di UiTM tidak dihantar kerana tiada keyakinan pada mulanya, sedar akan kurangnya pengalaman yang menjurus kepada bidang itu maka saya mengambil tempoh 4 tahun untuk bina portfolio juga aktif berkarya dalam bidang seni utama saya iaitu Seni Khat. 

Tahun 2010 cubaan ketiga berbekalkan 'keyakinan' menghantar permohonan serta berjaya dipanggil temuduga dilihat sebagai satu 'peluang' yang perlu diambil berat. Memori ditemuduga hampir sejam oleh Prof. Jailani Abu Hassan, Prof. Dr. Muliyadi, Prof. Madya Dr. Ruzaika dan Prof. Dr. Khatijah masih kekal di ingatan. Pelbagai soalan diajukan terutamanya mengenai latarbelakang pengajian saya sebelum ini, mereka melihat ianya sesuatu yang 'unik' dan saya acapkali ditanya 'mengapa UiTM...mengapa Fine Art...serius?' dan pelbagai lagi, kalaulah boleh direkod mahu saja ditransliterasikan ianya dalam bentuk bacaan untuk tatapan semua 

Alhamdulillah, berita mengenai penerimaan kemasukan bagi semester dua 2010 diterima dengan penuh kesyukuran juga senyuman. Detik itu bermulalah status sebagai pelajar yang mana dalam masa yang sama bekerja sendiri (seni khat, fotografi, rekabentuk grafik) juga pensyarah sambilan Seni Khat di USIM bagi menampung proses pengajian. Sejujurnya terlalu banyak cabaran dan tekanan sepanjang proses pengajian, saya melihat diri sebagai seorang yang masih terlalu 'baru' dalam bidang Seni Halus, dengan tahap pengetahuan, pemahaman dan penguasaan ilmu yang cetek akan bidang yang diceburi. Bersyukur pada Allah, saya sentiasa dikelilingi dengan rakan-rakan juga pensyarah-pensyarah yang tidak jemu mengajar serta memberi pemahaman berkali-kali sehingga saya mampu atasi kekurangan yang ada sedikit demi sedikit.

Wa akhiran, terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan dan memberi semangat kepada saya. Jutaan terima kasih buat kedua ibubapa, Mahadi Hj Lisot dan A Asah Abdul Wahab, kakak-kakak saya Surriyanty Mahadi dan Nur Shuhadah Mahadi yang senantiasa menyokong ketika senang mahupun sukar.

Supervisor; Prof. Dr. Khatijah Sanusi, dan pensyarah-pensyarah lain di UiTM yang sangat membantu sepanjang tempoh pengajian. Rakan-rakan seperjuangan terutamanya Syafiq Ali'am dan Adibah Nadiah yang kuat menyokong saya untuk meneruskan pengajian sehingga tamat ketika mana saya hampir berkeputusan untuk mengundur awal.

Terima kasih juga kepada anda yang sudi membaca coretan ini sehingga habis, semoga mana yang baik dan bermanfaat itu dapat dijadikan panduan serta dorongan. Maaf atas coretan yang panjang, saya fikir inilah kali pertama berjela-jela saya menulis 

"Sijil bukanlah pengukur ilmu bagi seseorang kerana kini, setiap masa dan selamanya adalah proses pembelajaran. Pelajarilah ilmu itu kerana manfaat yang ada darinya dan ia lebih bermakna sekiranya seseorang itu dapat pelajarinya dan memahaminya lalu menyampaikannya pada yang lain. Jadilah orang yang bermanfaat sepertimana hadis Nabi SAW yang bermaksud “Orang yang baik itu adalah yang memberi manfaat pada orang lain”. InsyaAllah peringatan untuk diri sendiri "

al-Haqir ila Allahi Bari,
Mohammad Firdaus Mahadi
(BQSS USIM 2006 | MFA UiTM 2012)

Tuesday, February 26, 2013

Pameran VIII



Foto oleh Dinn Diran

Eight Worlds Of Imagination - New Sunday Times, 24 February 2013

Assalamualaikum. Alhamdulillah semalam telah berlangsungnya Majlis Perasmian pameran berkumpulan 'VIII' di Galeri Segaris, Publika, Solaris Dutamas. Terharu dengan sambutan dan sokongan dari rakan-rakan juga penggiat seni yang lain. Semoga dengan pengalaman ini dapat memberi impak yang positif dalam perkembangan Seni Khat di Malaysia. InsyaAllah pameran ini akan berlangsung bermula 15 Februari sehingga 11 Mac 2013, pada yang berkesempatan bolehlah melawat dan melihat karya-karya yang telah dihasilkan oleh 8 orang penggiat seni muda.

Berikut pengenalan mengenai pameran ini:




"EIGHT showcases a brilliant outcome of young artists who have gone through an elaborate process of studio orientation. An entirely customized method that sees research, theory, context, and application as essential features of the program.

The exhibition projects different views and voices from diverse applications resultant from the extensive process the artists strategized through. It is a testament of rigorous practice-based artwork, which is emblematic of artistic inquiry. The main concern is that these artists bring highly personal aspects to their studio practice and when these are incorporated and manipulated into a focused project they can lead to innovative outcomes.

Participating Artists:

Azrin Mohd | Elis Mokhtar | Hazrin Mohd Yusoff | Mohd Firdaus Mahadi | Mohd Nafis Saad | Nasir Che Din | Nurfadilah Karim | Shahariah Roshdi 

Curator : Jailani Abu Hassan & Ramlan Abdullah 

Venue : Segaris Art Center
Exhibition : 15 February - 11 March 2013
Opening Ceremony : 25 February 2013 at 8.00 pm"

Berikut antara karya saya yang dipamerkan:




Firdaus Mahadi 
IQRA’ - BACALAH ATAS NAMA PENCIPTAMU!
Digital print on acrylic epoxy, T5 fluorescent light, screw, wood frame
122cm x 92cm
2013

Firdaus Mahadi
Iqra’ II - Hikmat Akal
Digital print on acrylic epoxy, T5 fluorescent light, screw, wood frame
61cm x 61cm
2013

Firdaus Mahadi 
Iqra’ III - Nadi Iman
Digital print on acrylic epoxy, T5 fluorescent light, screw, wood frame
61cm x 61cm
2013

Firdaus Mahadi
Iqra’ I - Landasan Hati
Digital print on acrylic epoxy, T5 fluorescent light, screw, wood frame
61cm x 92cm
2013

Friday, February 22, 2013

Visi Sifu Seni Khat


Oleh Siti Salmiah A. Hamid (Harian Metro, 22 Februari 2013)

Dia cintakan penulisan khat Arab. Penulisan yang membawanya merantau hingga ke luar negara seperti Iraq, Singapura, Kuwait, Baghdad serta Iran. Malah, beliau dilantik hakim dalam pertandingan khat di Brunei dan Istanbul. Selain sering mengadakan pameran lukisan kaligrafi, beliau turut mengabadikan penulisan khatnya di Masjid Negara, Masjid Putra, Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Sultan Mizan.

Mohammed Yusof Abu Bakar atau Ustaz Mohammed antara generasi pertama negara ini yang berjuang untuk mengembangkan penulisan khat yang berasal dari negara Arab.

“Pelbagai jenis khat berkembang sejak zaman Rasulullah SAW seperti khat Diwani, khat Diwani Jali, khat Farsi atau khat Iran yang tidak mempunyai baris dan khat Riq’ah. “Namun, belum wujud lagi penulisan khat Melayu yang menjadi identiti dan kebanggaan masyarakat Melayu,” katanya yang juga Koordinator penulisan khat di Yayasan Restu.

Beberapa negara seperti India, Turki dan Iran mempunyai bentuk penulisan khat mereka yang tersendiri justeru, kajian dan penyelidikan perlu dibangunkan untuk mencungkil satu gaya penulisan khat Melayu kerana kita masih mengguna pakai penulisan khat dari Arab. “Pada masa yang sama, penubuhan kolej atau sekolah seni khat yang berstatus kerajaan perlu ditubuhkan agar penulisan khat al-Quran diberi perhatian sepenuhnya. “Kami berharap usaha untuk memperbanyakkan tempat mendalami pendidikan ini supaya Malaysia boleh menjadi pusat pembelajaran khat yang disegani.

“Inisiatif kepada golongan muda dan remaja mampu meneruskan kesinambungan penulisan khat di Malaysia sekali gus meluaskan peluang pekerjaan dalam bidang kaligrafi,” katanya.

Bertindak sebagai Presiden Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK), beliau turut menyatakan kesukarannya menyediakan kursus penulisan khat tanpa bantuan dan peruntukan sewajarnya. Mohammed yang mendapat pendidikan di Universiti Al-Qahirah, Mesir menyeru golongan remaja mempelajari penulisan seni khat sejak di bangku sekolah.

“Penulisan khat kini lebih mudah dipelajari apabila teknologi yang membangun turut memberi impak dalam mengembangkan seni khat. “Ia boleh dianggap persaingan dalam perniagaan, namun apa yang lebih penting, masyarakat menyedari dan menghayati seni Islam itu,” katanya.

Pada masa yang sama, PSKK mengadakan Kursus Seni Khat dan Kraf 2013 di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) meliputi gaya penulisan khat Nasakh, khat Riq’ah, khat Kufi, khat Zukhrufah, khat Thuluth, khat Kufi Murabba dan kraf kanvas.

Orang ramai dialu-alukan untuk mengikuti kelas itu bermula jam 2.30 hingga 5.30 petang pada setiap hari Sabtu dan berakhir Jun ini. Hubungi Puan Rukiah di talian 017-8880145, Abdul Wahab (019-3936269) dan Nizreen (03-22705103) atau layari www.facebook.com/pskkm untuk maklumat lanjut.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Visisifusenikhat/Article

Thursday, December 6, 2012

Tokoh Seni Khat : Syaikh Uthman Taha



Beliau merupakan seorang tokoh yang telah banyak memberi khidmat dalam bidang al-Qur’an yang tidak kita sedari. Beliau adalah penulis mushaf Madinah yang bewarna hijau yang sering dibawa oleh jemaah haji atau orang yang ke Mekah.

Penglibatan Syaikh Uthman Taha dalam bidang penulisan mushaf sejak hampir 40 tahun iaitu bermula pada tahun 1970 untuk kementerian wakaf Syria. Pada tahun 1988 beliau datang ke Arab Saudi untuk menjadi penulis mushaf. Beliau dilantik sebagai penulis mushaf di Majma’ al-Malik Fahd Li Tiba’ah al-Mushaf (Kompleks Percetakan Mushaf Raja Fahd) di Madinah al-Munawwarah. Keistimewaan tulisan tangan Syaikh Uthman Taha ialah setiap halaman berakhir dengan penghujung ayat.


Nama sebenar beliau ialah Abu Marwan bin Uthman bin Abduh bin Hussain bin Taha. Beliau dilahirkan di sebuah kampung di Halab, Syria pada tahun 1934 Masihi dan mempunyai seorang isteri dan dikurniakan tujuh orang anak. Beliau dilahirkan dalam suasana tarbiah Islam yang kuat, bapanya Syaikh Abduh Husin Taha merupakan imam dan khatib di kampungnya, juga pengarang kitab-kitab agama. Sekarang syaikh Uthman Taha tinggal di Madinah al-Munawwarah.

Syaikh Uthman Taha memiliki ijazah dalam bidang syariah. Pada tahun 1973, beliau mendapat ijazah dalam seni khat dari Syaikh Hamid al-Amidiyy, seorang pakar khat yang sangat terkenal, sehingga beliau diberi gelaran Syaikh al-Khutatatain. Selain itu beliau juga berguru dengan tokoh khattat yang lain seperti Muhammad Aliyy al-Mawlawiyy, Ibrahim al-Rifa’iyy di Halab, Muhammad Badwiyy al-Diraniyy di Damsyik dan Hashim al-Baghdadiyy.

Pengalaman pertama dalam menulis mushaf ialah pada tahun 1973 semasa berusia tiga puluh tahun di bawah syarikat percetakan Dar al-Shamiyah di Damsyik tetapi syaikh Uthman Taha tidak berpuas hati dengan mutu kecantikan tulisan. Disebabkan ketokohan dan penulisan hiasan dinding beliau di Masjid Nabawi, Kerajaan Saudi telah mengambil beliau sebagai penulis Mushaf al-Madinah yang diguna-pakai oleh kerajaan Saudi dan seluruh dunia bermula pada tahun 1988.

Mereka yang melihat tulisan sekarang jauh lebih bermutu dari tulisan pertama. Sehingga kini beliau telah menulis mushaf mengikut riwayat Hafs dari Asim, riwayat Warash dari Nafi’ al-Madaniyy kedua-dua sudah dicetak dan riwayat Qalun tetapi belum dicetak.

Beliau amat terkenal di kalangan penulis khat kini sebagai Tokoh Seni Khat yang paling banyak berjasa. Beliau menjadi pakar rujuk dan hakim bagi pertandingan Khat Antarabangsa Istanbul sejak berdekad lamanya.

Berikut adalah beberapa contoh tulisan Syaikh Uthman Taha


Muka belakang mushaf al-Madinah diterjemahkan seperti berikut: Dengan pertolongan Allah dan taufiq-Nya, telah sempurna percetakan mushaf yang mulia ini di Majma' Malik al-Fahd untuk percetakan al-Mushaf al-Sharif di Madinah Munawwarah seliaan Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf, Dakwah dan Bimbingan di Kingdom of Saudi Arabia pada tahun 1426H dan ditulis oleh al-Khattat Uthman Taha










Berikut sumber dari penulisan Ustaz Abdul Baki Abu Bakar:

"Dari tahun 1970 sehingga ke hari ini Syaikh Othman Taha telah menulis dengan lengkap sebanyak sepuluh buah mushaf, dimana setiap satu lembaran berukuran 100cm x 70cm dan mempunyai 15 baris. Diantara mushaf-mushaf yang telah ditulis olehnya ialah:

1. Mushaf untuk Kementerian Wakaf Syria
2. Mushaf dengan riwayat Hafs untuk Ad-Dar As-Syamiyyah
3. Mushaf dengan riwayat Warash (Madinah)
4. Mushaf dengan riwayat Hafs (Mengikut Mushaf Mesir-tiada wakaf sudut)
5. Mushaf dengan riwayat Hafs (Mushaf Madinah)
6. Mushaf dengan riwayat Qalun
7. Mushaf dengan riwayat Ad-Duri

Beliau telah memperbaiki sistem susunan menulis mushaf yang mempunyai wakaf sudut daripada resam imla’i kepada Resam Othmani mengikut sebuah mushaf yang ditulis pada zaman Othmaniah Turki. Sistem inilah yang digunakan pada Mushaf Madinah sekarang. Susunannya amat kemas, teratur, membahagikan juzuk secara konsisten dan ia dinamakan juga Mushaf Huffaz kerana struktur susunannya yang mudah digunakan oleh para huffaz untuk menghafaz al-Quran."

Mohammad Firdaus bin Mahadi

Hak Cipta | Copyright Notice 

Semua catatan dan gambar dalam laman ini berada di bawah pemilikan & hak cipta Callidesign ™. Tidak ada karya seni, catatan, dan gambar dapat dipergunakan, dimuat turun, disalin, disimpan, dimanipulasi, atau digunakan secara keseluruhan atau sebahagian dari karya, tanpa izin bertulis dari Callidesign ™. All rights reserved. Jika anda ingin menggunakan catatan dan gambar untuk alasan apapun, sila hubungi saya.

All notes and images on this site are under the ownership & copyright of Callidesign™. No artworks, notes, and images may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without the written permission of Callidesign™. All rights reserved. If you'd like to use my notes and images for any reason, please contact me.