Pages

Wednesday, February 10, 2010

Usahawan Seni : Seni Khat Yang Berseni


Oleh Suhaila Abdul Rahman (Majalah Dewan Ekonomi Februari 2009)

Seni khat mula popular dan bertapak di Nusantara sejak zaman kerajaan Melaka lagi. Seni ini menampilkan tulisan jawi yang dihasilkan melalui kehalusan pembuatannya. Seni khat memerlukan kemahiran dan fokus yang menyeluruh untuk menghasilkannya. Tidak hairanlah apabila hasil yang diterima daripada seni khat ini menampakkan kelainan dan memberikan kepuasan kepada penggemarnya.

Mohammad Firdaus Mahadi merupakan seorang penulis khat yang tidak asing lagi bagi penggemar seni khat. Walaupun baru berusia 24 tahun, berkat kegigihan dan kesungguhannya, bidang seni khat ini membuahkan hasil yang lumayan kepadanya. Beliau kini mahir dan mampu menghasilkan tulisan khat dengan jayanya. Menurut beliau seni yang mengagungkan agama Islam ini harus diteruskan dan tidak boleh dipersia-siakan.

Beliau mula berminat mendalami penulisan khat ini sejak di bangku sekolah lagi. Ketika itu, beliau yang bersekolah di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang (SMAKJ) telah mengikuti subjek khat yang wajib dipelajari dari tingkatan satu hingga tiga. Jelas beliau, rasa cinta dan ingin menguasai bidang ini amat tebal dalam diri dan beliau sungguh teruja dengan keindahan yang terhasil daripada seni khat.

Namun begitu, terdapat juga kekangan yang terpaksa dihadapinya. Hal ini disebabkan oleh guru yang mengajarkan tulisan ini bukanlah khusus pada seni khat ini sahaja.

“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” berbekalkan semangat itulah beliau menghabiskan masa yang terluang dengan berlatih sendirian melalui bahan rujukan yang diberikan oleh guru terutamanya buku hasil karya penulis termasyhur Hasyim al Baghdadi yang juga menjadi rujukan peminat-peminat khat di Asia dan Eropah. Bermula dengan menekap dan melukis hasil karya penulis khat tersohor tersebut, beliau berjaya menguasai seni khat ini dengan baik.

Hasilnya dapat dilihat apabila untuk pertama kalinya beliau menyertai pertandingan khat peringkat kebangsaan pada tahun 1999, ketika itu beliau berada di tingkatan tiga. Pertandingan yang dianjurkan oleh Muzium Kesenian Islam Malaysia ini berjaya menobatkan beliau sebagai pemenang termuda untuk pertandingan itu. Usaha yang gigih selama ini telah membuahkan hasil yang baik. Beliau tekad untuk terus mendalami ilmu khat dengan memperbaik kelemahan melalui tunjuk ajar daripada guru dan rakan-rakan.

Sehingga kini pelbagai kejayaan dikecapi beliau baik dari peringkat sekolah hinggalah di peringkat negeri. Beliau berjaya menguasai sebahagian daripada jenis tulisan khat yang sedia ada, antaranya termasuklah Khat Nasakh, Khat Thuluth, Khat Thuluth Jali, Khat Riq'ah, Khat Farsi, Khat Dewani, Khat Dewani Jali, Khat Kufi Muhaqqaq, Khat Kufi Murabba', Khat Hurr dan Khat Tajj. Beliau yang bercita-cita menjadi seorang pakar rujukan mengenai seni khat suatu hari nanti, berjaya mendapat kepercayaan daripada pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk menghasilkan seni khat.

Kualiti seninya yang halus dan menakjubkan ini mendapat kepercayaan beberapa agensi kerajaan yang sering menggunakan perkhidmatan beliau. Antara pelanggan tetapnya sehingga kini termasuklah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Pusat Zakat Melaka (PZM), Masjid Al-Azim Melaka, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Utusan Karya (majalah Al-Islam), Hijjaz Records dan Jamiyah Singapura.

Bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunnah dari Universiti Sains Islam Malaysia ini, apa-apa yang dikecapi ketika ini merupakan anugerah daripada lIahi dan pengorbanan beliau selama ini banyak bersandarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Ali r.a. yang bermaksud, kecantikan dalam penulisan itu sesungguhnya pembuka pada pintu rezeki. Inilah kunci kejayaan beliau yang dipegang sehingga kini. Beliau bercita-cita untuk memartabatkan dan membudayakan tulisan al-Quran ini dengan jayanya di Malaysia, selain mengembalikan kegemilangan tamadun seni Islam.

Hasil tulisan khat beliau bukan sahaja mendapat perhatian dan permintaan di Malaysia, malah mendapat permintaan daripada negara jiran seperti Singapura. Beliau pernah juga menyertai ekspo yang dianjurkan oleh Jamiyah Singapura pada September tahun lalu. Sebelum ini, anak muda yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka ini pernah menjejakkan kaki di Korea Selatan semata-mata untuk menyebarkan dan memberikan pengetahuan kepada rakyat Korea mengenai seni khat ini. Beliau bersyukur kerana usahanya di Korea menunjukkan sesuatu yang positif dengan banyak menerima tempahan.

Walaupun beliau berjaya mengukir nama sebagai seorang penulis khat di Malaysia, bagi beliau ilmu yang dimiliki perlulah dikongsi bersama dan memastikan seni khat ini dijadikan sebagai minat terutama golongan muda ketika ini. Firdaus menasihatkan sesiapa yang meminati seni ini perlulah mempunyai persediaan yang kuat dari segi mental dan fizikal. Sebagai penulis yang ingin menyampaikan mesej tertentu kepada masyarakat, minat yang mendalam harus disemai. Melalui minat yang mendalamlah seseorang itu mampu menghasilkan karya yang bermutu dan berkualiti.

Selain itu juga, seseorang itu memiliki emosi yang tenang dan ketekunan yang jitu ketika mahu menghasilkan seni khat. Hal ini demikian kerana seni khat ini memerlukan ketelitian dalam menghasilkannya. Seni khat ini halus sifatnya dan seseorang penulis memerlukan ketenangan jiwa serta penghayatan yang tajam. Jelas Firdaus lagi seseorang itu perlu juga menunjukkan kesungguhan yang mantap, daya imaginasi yang tinggi serta daya cipta dan tiru yang halus. Melalui “ramuan” inilah penulis khat dapat mencipta dan menghasilkan khat yang benar-benar berkualiti. 

Firdaus turut berkongsi pengetahuan yang dimiliki dengan sesiapa sahaja yang berminat mendalami seni khat ini melalui tutorial yang disiarkan di laman blognya, iaitu callidesign.com.my.

Firdaus menjelaskan bahawa beliau lebih memfokuskan matlamat untuk menyebarkan seni khat yang dipelajari kepada mereka yang berminat dan yang pasti beliau tidak mengutamakan keuntungan semata-mata. 

Selain itu, Firdaus berpendapat bahawa seni khat kini menampakkan petunjuk yang positif dengan adanya usaha menubuhkan Persatuan Seni Khat Kebangsaan yang menjadi penggerak kepada aktiviti yang berteraskan seni khat. Beliau mengharapkan usaha untuk memperkenalkan seni khat ini mendapat perhatian daripada semua golongan masyarakat untuk memugari kecintaan terhadap seni khat dan penghayatan menyeluruh tulisan kalam yang suci ini. Beliau boleh juga dihubungi melalui e-mel admin@callidesign.com.my.


Mohammad Firdaus bin Mahadi
http://www.callidesign.com.my
http://www.firdausmahadi.com


Hak Cipta | Copyright Notice
Semua catatan dan gambar dalam laman ini berada di bawah pemilikan & hak cipta Callidesign ™. Tidak ada karya seni, catatan, dan gambar dapat dipergunakan, dimuat turun, disalin, disimpan, dimanipulasi, atau digunakan secara keseluruhan atau sebahagian dari karya, tanpa izin bertulis dari Callidesign ™. All rights reserved. Jika anda ingin menggunakan catatan dan gambar untuk alasan apapun, sila hubungi saya.

All notes and images on this site are under the ownership & copyright of Callidesign™. No artworks, notes, and images may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without the written permission of Callidesign™. All rights reserved. If you'd like to use my notes and images for any reason, please contact me.

5 comments:

Mohammad Firdaus bin Mahadi
http://www.callidesign.com.my
http://www.firdausmahadi.com

Hak Cipta | Copyright Notice

Semua catatan dan gambar dalam laman ini berada di bawah pemilikan dan hak cipta Callidesign. Tidak ada karya seni, catatan, dan gambar dapat dipergunakan, dimuat turun, disalin, disimpan, dimanipulasi, atau digunakan secara keseluruhan atau sebahagian dari karya, tanpa izin bertulis dari Callidesign. All rights reserved. Jika anda ingin menggunakan catatan dan gambar untuk alasan apapun, sila hubungi saya.

All notes and images on this site are under the ownership and copyright of Callidesign. No artworks, notes, and images may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without the written permission of Callidesign. All rights reserved. If you'd like to use my notes and images for any reason, please contact me.