Pages

Thursday, February 3, 2011

Memartabatkan Seni Khat

 
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad (Metro Ahad, 9 Januari 2011)

Seni kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama seni khat adalah khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki umat Islam hingga kini. Perkataan kaligrafi ini berasal daripada bahasa Yunani iaitu kalios bermaksud indah manakala graphia pula bererti tulisan atau coretan. Kaligrafi adalah karya seni ukiran tangan yang artistik selain memiliki nilai seni estetika tinggi. Di sebalik nilai seni kandungannya, ia turut sarat dengan budaya Islam disebabkan strukturnya yang bukan hanya bertindak sebagai karya seni, tetapi juga sebagai satu cara penyebaran Islam. Penulisan khat dipercayai dihasilkan secara meluas di Kufah, Iraq pada kurun ketujuh, namun ia dikatakan bermula sejak zaman Nabi Muhammad SAW hingga zaman sahabat dan diikuti zaman pemerintahan Islam lain seperti kerajaan Umawiyyah, Abbasiyyah, Mughal, kerajaan Islam di Andalus dan lain-lain.

Di Malaysia, pertemuan Batu Bersurat di Terengganu membuktikan khat Arab diguna pakai di alam Melayu sejak ratusan tahun lagi. Ia bermula sekitar kurun ketujuh hijrah iaitu 702H/1303M di mana khat Arab terpahat di lubuk hati masyarakat Melayu. Khat berkenaan ditulis menggunakan bahasa Melayu. Berhampiran dengan batu itu ada batu pedang. Padanya ada khat kalimah Allah yang mirip khat Kufi. Sejak itu, penggunaan tulisan ini menjadi semakin meluas dan menjadi tulisan rasmi dalam urusan kerajaan. Di negara ini, seni khat dimajukan dalam pelbagai bidang. Seperti contoh, tulisan ini diukir di atas kayu keras. Ini adalah keistimewaan seni khat di Malaysia, yang diwarisi turun temurun dan dimanfaatkan untuk mempertingkatkan seni khat Islam. Ayat al-Quran diukir bermotifkan tumbuh-tumbuhan yang berpusing-pusing kanan dan kiri. Alatan senjata seperti pedang juga diukir dengan ayat al-Quran.

Pada zaman keagungan kerajaan Melayu Islam, seni khat diabadikan di atas duit syiling seperti pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1455-1459). Pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalil Syah (1632-1677), wang emas diukir dengan khat. Begitu juga dengan cokmar, pingat dan bintang kebesaran kerajaan negeri di Malaysia juga diukir dengan ayat al-Quran. Di antara ahli khat Malaysia yang masyhur adalah Syed Abdul Rahman al-Attas. Khat beliau diabadikan di bangunan Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu, Masjid Jamek, Bangunan Parlimen Malaysia, koleksi Muzium Seni Asia (Universiti Malaya), koleksi Sultan Johor dan lain-lain. Bagaimanapun, kini kecintaan terhadap seni khat, terutama di kalangan generasi muda, kian suram apabila tiada pendedahan meluas mengenainya.

Bagi terus memartabatkan peninggalan seni Islam itu, Mohammad Firdaus Mahadi, 26, antara golongan belia yang masih memperjuangkan tulisan jawi berkenaan. Minat mendalam terhadap subjek seni sejak sekolah rendah membuatkan dia tertarik untuk terus mempelajari seni khat secara serius. “Saya bukan pakar sebab lebih banyak belajar sendiri dan tidak mengambil sebarang kelas intensif. Contohnya, menekap dan melukis hasil karya penulis khat tersohor sebagai proses pembelajaran awal. “Lama-kelamaan seni khat sebati dalam jiwa disebabkan keindahan ukiran kalimah Allah selain dorongan daripada keluarga, guru dan rakan,” katanya. Menurutnya, sewaktu di tingkatan tiga dia menyertai pertandingan khat peringkat kebangsaan buat pertama kali anjuran Muzium Kesenian Islam Malaysia dan muncul sebagai pemenang termuda pertandingan berkenaan. Bermula saat itu, dia tekad mendalami ilmu seni khat secara serius bersama guru dan rakan dengan mempelajari kelemahan dan selok-belok sesuatu tulisan. “Ada ratusan jenis tulisan khat, namun yang biasa digunakan hanya tujuh iaitu Khat Riq’ah, Kufi, Nasakh, Diwani Jali, Farsi, Thuluth dan Diwani. “Paling rumit adalah Thuluth sebab perlukan ketelitian untuk menentukan ukurannya dengan bilangan titik yang sesuai pada setiap huruf dan biasanya khat ini ditulis dengan pena yang lebar matanya iaitu dua hingga tiga milimeter,” katanya.

Bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Sunnah dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) ini, usaha kerasnya terus membuahkan hasil apabila diberi kepercayaan menulis nama pelajar pada sijil konvokesyen graduan Usim. Bukan itu saja, kualiti seni yang halus dan menakjubkan itu turut mendapat kepercayaan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Pusat Zakat Melaka (PZM), Masjid Al-Azim Melaka, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Hijjaz Records dan Jamiyah Singapura. Hasil tulisan anak tempatan itu bukan saja dikenali dalam negara, malah turut mendapat perhatian dan permintaan tinggi daripada negara jiran, Singapura. Tulisannya turut dapat dilihat pada setiap majlis sambutan Maulidur Rasul, Maal Hijrah atau pertandingan yang memerlukan tulisan jawi seluruh negara. Dia turut menjejakkan kaki ke Korea Selatan menyertai Celebrating Of The Golden Anniversary Of Islam In Korea bertujuan memperkenalkan Islam di sana dan bersyukur kedatangannya disambut baik rakyat negara itu selain menerima banyak tempahan. “Saya tidak sangka sambutan yang diterima luar biasa. Rakyat Korea meminati seni khat dan paling mengejutkan, majoriti yang menghadiri pameran itu adalah bukan Islam. “Situasi ini secara tidak langsung membuktikan Islam agama yang mudah diterima dan satu cara untuk saya berdakwah,” kata anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Meskipun berjaya mengukir nama sebagai penulis khat disegani, Firdaus belum puas dengan apa dikecapi dan berhasrat berkongsi dengan orang ramai yang berminat mendalami seni khat. “Saya berhasrat mengembalikan semula zaman kegemilangan seni khat, terutama kepada golongan muda, khususnya yang meminati seni ini dengan mengadakan kelas intensif. “Saya turut memasang impian mewujudkan galeri pameran sendiri khusus untuk mempamerkan hasil pelbagai jenis tulisan khat,” katanya yang masih mencari penaja bagi merealisasikan impiannya. Pada masa sama, Firdaus turut menerima tempahan karya tulisan khat tradisional, digital dan kanvas seperti ayat al-Quran, hadis, nama, logo syarikat, rekaan dalaman masjid dan pejabat. Firdaus turut berkongsi pengalaman dengan sesiapa yang berminat mendalami seni khat melalui tutorial di laman blognya iaitu callidesign.com.my. Beliau berharap dengan tertubuhnya Persatuan Seni Khat Kebangsaan yang menjadi penggerak aktiviti berteraskan seni khat itu mampu menarik lebih minat orang ramai untuk menghargai seni warisan Islam. “Saya yakin seni khat mempunyai masa depan cerah berdasarkan pengalaman di luar negara apabila ia mendapat sambutan hebat meskipun bukan daripada individu beragama Islam,” katanya yang juga jurugambar.

Mohammad Firdaus bin Mahadi
http://www.callidesign.com.my
http://www.firdausmahadi.com


Hak Cipta | Copyright Notice
Semua catatan dan gambar dalam laman ini berada di bawah pemilikan & hak cipta Callidesign ™. Tidak ada karya seni, catatan, dan gambar dapat dipergunakan, dimuat turun, disalin, disimpan, dimanipulasi, atau digunakan secara keseluruhan atau sebahagian dari karya, tanpa izin bertulis dari Callidesign ™. All rights reserved. Jika anda ingin menggunakan catatan dan gambar untuk alasan apapun, sila hubungi saya.

All notes and images on this site are under the ownership & copyright of Callidesign™. No artworks, notes, and images may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without the written permission of Callidesign™. All rights reserved. If you'd like to use my notes and images for any reason, please contact me.

6 comments:

  1. Tahniah saudara firdaus, teruskan perjuangan memartabatkan seni khat di Malaysia

    ReplyDelete
  2. doakan ana juga,ana teringin sgt dpt excellent sprti anta..

    ReplyDelete
  3. salam syekh..mabruk ye..oy izinkan ana copy anta punya teks yew..

    ReplyDelete
  4. tahniah teruskan perjuangan ...dari
    http://lanung5566.blogspot.com/

    ReplyDelete
  5. as slm..sori nyebok...
    waaa..msuk paper..:) fofular k...

    ReplyDelete

Mohammad Firdaus bin Mahadi

Facebook : http://www.facebook.com/firdausmahadi
Instagram : https://www.instagram.com/firdausmahadi
Twitter : https://www.twitter.com/firdausmahadi
YouTube : https://youtube.com/user/firdausmahadi

Hak Cipta | Copyright Notice

Semua catatan dan gambar dalam laman ini berada di bawah pemilikan dan hak cipta Callidesign. Tidak ada karya seni, catatan, dan gambar dapat dipergunakan, dimuat turun, disalin, disimpan, dimanipulasi, atau digunakan secara keseluruhan atau sebahagian dari karya, tanpa izin bertulis dari Callidesign. All rights reserved. Jika anda ingin menggunakan catatan dan gambar untuk alasan apapun, sila hubungi saya.

All notes and images on this site are under the ownership and copyright of Callidesign. No artworks, notes, and images may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without the written permission of Callidesign. All rights reserved. If you'd like to use my notes and images for any reason, please contact me.