Pages

Me and Maher Zain

Maher Zain and me during his concert in Malaysia, with my artwork his name in Diwani Jali style.

Al-Aqsa - Form Of The Doa Exhibition

Alhamdulillah, I was given the trust and the opportunity to produce an artwork using the rarest medium; old 4mm-thick Aluminum sheets retrieved from Dome Of The Rock in al-Aqsa, Jerusalem,Palestine.

Exhibition at South Korea

Celebrating Of The Golden Anniversary Of Islam In Korea - The Grand Exhibition For Culture and Folk Art Of The Middle East and Islam.

Memartabatkan Seni Khat

Featured in Metro Ahad, 9 Januari 2011.

Kuala Lumpur Design Week

Collaborative artwork between Moed Latif's oriental illustration and Firdaus Mahadi's calligraphy 'Kreatif'.

Wednesday, April 20, 2011

Disebalik Keindahan Seni Khat


Hikmah seni khat ialah pemahaman mengenai selok belok petua dan rahsia-rahsia halus seni ini. Memahami ilmu yang tersirat ini adalah kebijaksanaan hikmah yang menjadi inti kepada sesuatu ilmu pengetahuan. Allah SWT. berfirman yang bermaksud:

"Dia memberi hikmah kepada sesiapa yang Dia Kehendaki. Sesiapa yang diberikan al-Hikmah sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak." (Al-Baqarah : 269)

Rasulullah SAW juga menyatakan bahawa hikmah adalah permata yang hilang setiap mukmin yang perlu dicari walau di mana sahaja. Semakin mengerti seseorang tentang rahsia ilmu, semakin mendalam kecintaannya kepada perkara yang mulia dan tinggi.

Ia juga akan menyedarkan kita bahawa seni khat sebenarnya tidak sesukar yang disangka. Ia juga membantu meningkatkan kemahiran dan meringkaskan proses pembelajaran khat. Dengan ilmu sesuatu karya bertambah mantap, hidup dan memindahkan makna ke hati yang memandangnya. Petua dan rahsia ini dipelihara dan diwariskan kepada satu generasi ke generasi berikutnya.

Seni adalah kepandaian. Ada kalanya kepandaian ahli khat seperti trick ahli silap mata. Pada huruf ada petua dan rahsia. Tahukah kita bahawa huruf-huruf mempunyai ibunya? Ibu huruf bermaksud bentuk-bentuk asas yang daripadanya boleh melahirkan bentuk huruf yang lain.

Teknik ini pernah dipopularkan oleh Muhammad Hasyim al-Baghdadi, khattat Baghdad yang terkenal. Ibu-ibu kepada huruf-huruf tunggal adalah (alif, ba, jim, dal, ra, sin, shad dan nun). Sebagai contoh, daripada huruf alif boleh dilahirkan huruf kaf dan lam. Daripada huruf ba pula dilahirkan ta, sa dan fa. Begitulah seterusnya bagi ibu huruf yang lain.

Huruf-huruf sambungan pula boleh dipecahkan pula kepada lebih seribu bentuk. Namun hakikatnya bentuk-bentuk ini terangkum dalam 30 bentuk sambungan sahaja. Inilah satu keajaiban seni pembelajaran huruf khat. Pemahaman ini mengukuhkan lagi latihan huruf satu-persatu. Hanya dengan latihan tulisan seseorang akan mencapai tahap kecemerlangan.

Khat juga menggunakan teknik melukis. Pada bahagian huruf yang sukar penulis akan melukis garisan dengan hujung pena dan menghitamkan bahagian tersebut dengan tinta. Teknik ini digunakan terutamanya dalam membentuk kepada ain dan hujung ra khususnya khat nasakh dan thuluth.

Kebanyakan khattat memberi penumpuan khusus kepada latihan membentuk huruf ha simpul, kerana huruf ini mempunyai pelbagai variasi arah dan mempunyai unsur dal, fa, ra dan lain-lain. Ha adalah huruf terakhir pada perkataan `Allah' yang mempunyai makna walaupun hanya satu huruf.

Jari manusia dibina dengan struktur yang sempurna dan fungsi yang mengkagumkan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Apakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan kembali tulangnya? Bukan begitu. Malah Kami berkuasa menyusun kembali jarinya dengan sempurna." (Al-Qiamah : 3-4).

Keunikan susunan tulang pada jari amat penting dalam menulis khat. Ibu jari mempunyai dua ruas menjadi penyangga yang menyokong pena semasa menulis. Jari telunjuk pula sebagai peneraju utama semasa huruf dibentuk. Jari secara semula jadi adalah ergonomik untuk memegang pena. Gerakan jari digunakan untuk bentuk yang halus, sementara gerakan pergelangan dan lengan untuk bentuk melintang serta garisan tegak memanjang.

Semasa menulis, semua anggota yang lain diam, mata pula dipaku kepada hujung mata pena. Ada kalanya pernafasan perlu dikawal. Ini merupakan latihan kepada khusyuk (fokus). Tanpa khusyuk, tulisan tidak akan menjadi. Aktiviti manusia termasuk solat dan aktiviti hariannya perlu khusyuk dan mempunyai objektif yang jelas.

TERAPI

Dari sudut psikologi, ia adalah terapi yang berkesan bagi memulihkan ketegangan jiwa. Tidak hairanlah di dalam al-Quran Allah SWT bersumpah demi pena dan penulisannya, agar manusia kembali menoleh perhatiannya terhadap keajaiban ciptaan-Nya pada jari, tangan dan apa yang manusia catatkan.

Tinta pula diperbuat daripada unsur karbon seperti beras atau gandum yang hangus yang ditumbuk halus. Ia dicampur pula dengan gam yang sesuai seperti gam Arab, getah pohon dan lain-lain. Telah menjadi tradisi, setiap kali alu diangkat, setiap itu juga bibir menuturkan zikir memuji Allah SWT.

Pendek kata, zikrullah menjadi rutin kebiasaan dalam meraut pena, menyediakan tinta menulis dan sebagainya. Oleh itu, seni khat bukan sahaja memupuk kesempurnaan jiwa seni yang tinggi, malah ia salah satu jalan menuju Allah SWT.

Ciri-ciri pena yang baik ialah kering, keras, lurus dan beruas tebal supaya mudah dikawal serta tidak mudah patah. Mata pena dibelah tengah, dilubangkan pada jarak 2 sm dari hujung pena, dan dikelar garis-garis melintang bagi membekalkan tinta secukupnya ke mata pena.

Ruang pena yang kosong disumbat fabrik seperti kapas atau sutera bagi tujuan yang sama. Antara rahsia keindahan khat ialah penyediaan kertas yang baik yang mempunyai ciri-ciri permukaan rata, tidak kembang serta cepat menyerap tinta. Satu teknik penyediaan kertas secara tradisi ialah penyediaan kertas telur.

Caranya ialah dengan menyapukan putih telur atas kertas, keringkan dan gosokkan permukaannya dengan batu licin. Cara ini masih digunakan khususnya di Turki dan Iran sehingga ke hari ini. Ia bertujuan supaya tulisan menjadi lebih lancar dan stabil.

Masih banyak lagi petua dan rahsia yang tidak mampu diungkap dalam ruang yang terbatas ini. Namun petua terpenting bagi memperoleh hikmah adalah taqwa, sebagaimana kata pujangga, Takutkan Allah adalah pintu kepada al-Hikmah.


Mohammad Firdaus bin Mahadi
http://www.callidesign.com.my
http://www.firdausmahadi.com


Hak Cipta | Copyright Notice 

Semua catatan dan gambar dalam laman ini berada di bawah pemilikan & hak cipta Callidesign ™. Tidak ada karya seni, catatan, dan gambar dapat dipergunakan, dimuat turun, disalin, disimpan, dimanipulasi, atau digunakan secara keseluruhan atau sebahagian dari karya, tanpa izin bertulis dari Callidesign ™. All rights reserved. Jika anda ingin menggunakan catatan dan gambar untuk alasan apapun, sila hubungi saya.

All notes and images on this site are under the ownership & copyright of Callidesign. No artworks, notes, and images may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without the written permission of Callidesign. All rights reserved. If you'd like to use my notes and images for any reason, please contact me.