Disebalik Keindahan Seni Khat


Hikmah seni khat ialah pemahaman mengenai selok belok petua dan rahsia-rahsia halus seni ini. Memahami ilmu yang tersirat ini adalah kebijaksanaan hikmah yang menjadi inti kepada sesuatu ilmu pengetahuan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:


Dia memberi hikmah kepada sesiapa yang Dia Kehendaki. Sesiapa yang diberikan al-Hikmah sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. (Al-Baqarah:269). Rasulullah S.A.W. juga menyatakan bahawa hikmah adalah permata yang hilang setiap mukmin yang perlu dicari walau di mana sahaja. Semakin mengerti seseorang tentang rahsia ilmu, semakin mendalam kecintaannya kepada perkara yang mulia dan tinggi.


Ia juga akan menyedarkan kita bahawa seni khat sebenarnya tidak sesukar yang disangka. Ia juga membantu meningkatkan kemahiran dan meringkaskan proses pembelajaran khat. Dengan ilmu sesuatu karya bertambah mantap, hidup dan memindahkan makna ke hati yang memandangnya. Petua dan rahsia ini dipelihara dan diwariskan kepada satu generasi ke generasi berikutnya.


Seni adalah kepandaian. Ada kalanya kepandaian ahli khat seperti trick ahli silap mata. Pada huruf ada petua dan rahsia. Tahukah kita bahawa huruf-huruf mempunyai ibunya? Ibu huruf bermaksud bentuk-bentuk asas yang daripadanya boleh melahirkan bentuk huruf yang lain.


Teknik ini pernah dipopularkan oleh Muhammad Hasyim al-Baghdadi, khattat Baghdad yang terkenal. Ibu-ibu kepada huruf-huruf tunggal adalah (alif, ba, jim, dal, ra, sin, shad dan nun). Sebagai contoh, daripada huruf alif boleh dilahirkan huruf kaf dan lam. Daripada huruf ba pula dilahirkan ta, sa dan fa. Begitulah seterusnya bagi ibu huruf yang lain.


Huruf-huruf sambungan pula boleh dipecahkan pula kepada lebih seribu bentuk. Namun hakikatnya bentuk-bentuk ini terangkum dalam 30 bentuk sambungan sahaja. Inilah satu keajaiban seni pembelajaran huruf khat. Pemahaman ini mengukuhkan lagi latihan huruf satu-persatu. Hanya dengan latihan tulisan seseorang akan mencapai tahap kecemerlangan.


Khat juga menggunakan teknik melukis. Pada bahagian huruf yang sukar penulis akan melukis garisan dengan hujung pena dan menghitamkan bahagian tersebut dengan tinta. Teknik ini digunakan terutamanya dalam membentuk kepada ain dan hujung ra khususnya khat nasakh dan thuluth.


Black & Brown memberi penumpuan khusus kepada latihan membentuk huruf ha simpul, kerana huruf ini mempunyai pelbagai variasi arah dan mempunyai unsur dal, fa, ra dan lain-lain. Ha adalah huruf terakhir pada perkataan `Allah' yang mempunyai makna walaupun hanya satu huruf.


Jari manusia dibina dengan struktur yang sempurna dan fungsi yang mengkagumkan. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: Apakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan kembali tulangnya? Bukan begitu. Malah Kami berkuasa menyusun kembali jarinya dengan sempurna. (Al-Qiamah : 3-4).


Keunikan susunan tulang pada jari amat penting dalam menulis khat. Ibu jari mempunyai dua ruas menjadi penyangga yang menyokong pena semasa menulis. Jari telunjuk pula sebagai peneraju utama semasa huruf dibentuk. Jari secara semula jadi adalah ergonomik untuk memegang pena. Gerakan jari digunakan untuk bentuk yang halus, sementara gerakan pergelangan dan lengan untuk bentuk melintang serta garisan tegak memanjang.


Semasa menulis, semua anggota yang lain diam, mata pula dipaku kepada hujung mata pena. Ada kalanya pernafasan perlu dikawal. Ini merupakan latihan kepada khusyuk (fokus). Tanpa khusyuk, tulisan tidak akan menjadi. Aktiviti manusia termasuk solat dan aktiviti hariannya perlu khusyuk dan mempunyai objektif yang jelas.


TERAPI

Dari sudut psikologi, ia adalah terapi yang berkesan bagi memulihkan ketegangan jiwa. Tidak hairanlah di dalam al-Quran Allah S.W.T. bersumpah demi pena dan penulisannya, agar manusia kembali menoleh perhatiannya terhadap keajaiban ciptaan-Nya pada jari, tangan dan apa yang manusia catatkan.


Tinta pula diperbuat daripada unsur karbon seperti beras atau gandum yang hangus yang ditumbuk halus. Ia dicampur pula dengan gam yang sesuai seperti gam Arab, getah pohon dan lain-lain. Telah menjadi tradisi, setiap kali alu diangkat, setiap itu juga bibir menuturkan zikir memuji Allah S.W.T.


Pendek kata, zikrullah menjadi rutin kebiasaan dalam meraut pena, menyediakan tinta menulis dan sebagainya. Oleh itu, seni khat bukan sahaja memupuk kesempurnaan jiwa seni yang tinggi, malah ia salah satu jalan menuju Allah S.W.T.


Ciri-ciri pena yang baik ialah kering, keras, lurus dan beruas tebal supaya mudah dikawal serta tidak mudah patah. Mata pena dibelah tengah, dilubangkan pada jarak 2 sm dari hujung pena, dan dikelar garis-garis melintang bagi membekalkan tinta secukupnya ke mata pena.


Ruang pena yang kosong disumbat fabrik seperti kapas atau sutera bagi tujuan yang sama. Antara rahsia keindahan khat ialah penyediaan kertas yang baik yang mempunyai ciri-ciri permukaan rata, tidak kembang serta cepat menyerap tinta. Satu teknik penyediaan kertas secara tradisi ialah penyediaan kertas telur.


Caranya ialah dengan menyapukan putih telur atas kertas, keringkan dan gosokkan permukaannya dengan batu licin. Cara ini masih digunakan khususnya di Turki dan Iran sehingga ke hari ini. Ia bertujuan supaya tulisan menjadi lebih lancar dan stabil.


Masih banyak lagi petua dan rahsia yang tidak mampu diungkap dalam ruang yang terbatas ini. Namun petua terpenting bagi memperoleh hikmah adalah taqwa, sebagaimana kata pujangga, Takutkan Allah adalah pintu kepada al-Hikmah.


Sumber :
Portal E-Jawi

Promosi : Laman Portal K-Jawi



Mengenai Portal K-Jawi :

"Portal Jawi adalah portal interaktif yang dihasilkan dengan penggunaan bahasa jawi sepenuhnya. Ia mengandungi pelbagai ciri bagi pengguna untuk melayarinya. Kewujudan portal ini akan dapat menambahkan nilai pengetahuan pengguna bagi peringkat umur yang berbeza untuk belajar dan memahami tulisan jawi. Portal ini menyediakan pelbagi fungsi seperti forum, artikel, berita dan sebagainya. Diharapkan pengguna dapat memanfaatkan apa yang di paparkan dan diaplikasikannya dengan cara yang terbaik. Semoga portal ini akan dapat mengekalkan serta mempertahankan tulisan jawi dari hilang ditelan zaman."

Ulasan :

Sebuah laman berunsurkan jawi yang telah dibangunkan oleh Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM) dengan kerjasama Kementerian Kesenian dan Warisan (KeKKWa). Portal ini dibangunkan dengan jayanya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia akan kepentingan tulisan jawi yang mana semakin hari semakin dilupakan. Adalah menjadi tugas kita semua untuk membudayakan dan mengangkat tulisan jawi ini hingga ke tahap yang tertinggi dan supaya tidak dilupakan oleh generasi sekarang. InsyaAllah melalui usaha kerajaan dalam program membudayakan jawi dan Seni Khat ini dapat memberi manfaat kepada semua terutamanya kepada pengamal, pencinta Seni Khat dan jawi untuk mengembangkan bakat mereka dan seterusnya memartabatkan kesenian Islam yang semakin dilupakan ini. Adalah menjadi harapan saya dengan adanya program ini dapat membentuk satu komuniti yang terdiri dari pakar-pakar khat dan jawi untuk melaksanakan program-program pembudayaan dengan kerjasama KeKKWa demi memelihara kesenian Islam yang unggul ini, insyaAllah.

| callidesign™ |

Review Novel : Bermula Dengan Alif


Pengarang :
Hashim Latiff
Harga: RM 13.00 / RM 16.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN:
ISBN 983-3653-42-1
Barcode:
9789833653423
Jumlah Halaman:
208 halaman
Terbitan :
PTS One Sdn Bhd
Tarikh Terbit:
25 September 2006

SINOPSIS

Bolehkah seorang anak kampung seperti Adam Fahmy Mengejar seni tertinggi?

Adam merupakan seorang anak muda yang amat meminati dan mencintai seni khat. Dia mengimpikan sebuah perpustakaan jawi yang pastinya akan menyimpan segala khazanah serta sejarah seni khat ini. Bagi merialisasi impiannya itu, Adam bertekad akan belajar seni khat dengan bersungguh-sungguh. Namun Adam terpaksa berhadapan dengan kedegilan serta hasad dengki daripada sahabatnya. Adakah impian Adam akan tercapai? Perjuangan Adam telah bermula, selepas langkahnya bermula dengan alif.


ULASAN

• Saya masih lagi mencari novel ini di kedai-kedai buku, tapi masih belum jumpa, insyaAllah kalau saya dapat membeli buku ini saya akan memberi sedikit ulasan, secara zahirnya saya dapat bayangkan kemungkinan jalan ceritanya ada sedikit sebanyak berkaitan dengan saya sepertimana yang kita dapat lihat di sinopsis novel ini menceritakan perihal seorang anak muda yang terlalu meminati bidang seni khat. Oleh itu, andaikata saudara dan saudari terjumpa novel ini di kedai-kedai buku beli dan bacalah, mana tahu dari pembacaan dapat menimbulkan minat semua untuk mempelajari Seni Khat, siapa sangka? :)


| callidesign™ |